PERKEMBANGAN FIQH DAN ALIRANNYA
Sekitar berakhirnya zaman khulafa ar Rasyidin hingga awal kurun kedua Hijrah atau dahulu sedikit dari kejatuhan Daulah Umawwiyah, Fuqaha’ pada zaman ini merujuk kepada al Quran, kemudian as Sunnah, kemudian ijtihad dengan fikiran di samping mengambil kira tentang illat atau sebab hukum diperundangkan dan menitik beratkan maslahah dan menolak mafsadah.
Skop Fiqh Dan Sebab-Sebab Perbezaan Pendapat
Islam terus melebarkan sayapnya sampai keluar jazirah arab yang mempunyai berbagai adat, budaya, suasana masyarakat, ekonomi, cara hidup bermuamalah dan tamadun yang menjadi factor wujudnya beberapa peristiwa dan pertambahan masalah fiqh. Hal ini memerlukan jawapan hukum dan berlakunya perselisihan pendapat di kalangan fuqaha’ dalam menentukan hukum
Di antara sebab berlakunya perbezaan pendapat di dalam masalah fiqh ialah:
Pertama : Bertebaran fuqaha’ Sahabat dan Tabi’in di merata Negara Islam sebagai tempat rujukan masalah hukum syara’ dan mempelajari ilmu agama dan hukum-hukum fiqh dari mereka. Namun demikian fuqaha’ tersebut berbeza dari segi fiqh, penghafalan hadis-hadis dan kadar pemahaman terhadap al Quran dan sunnah membawa kepada timbulnya perselisihan pendapat dalam perkara yang mereka ijtihad dan fatwakan
Kedua : Para fuqaha’ sukar bertemu dan berhubung antara satu sama lain untuk bermuzakarah dan muraja’ah bagi mendapatkan kesatuan hukum atau ijma’
Ketiga : Fuqaha’ mengambil kira suasana dan situasi tempat dalam berijtihad selagi mana ia tidak bercanggah dengan syara’
Keempat : Penduduk setiap Negara menerima ilmu dari fuqaha’ masing-masing. Mereka berpegang teguh dengan setiap fatwa dan hadis yang diriwayatkan oleh ulama mereka seterusnya mengambil pakai metodologi ulama-ulama tersebut menyebabkan mereka merasa tidak perlu mengetahui fiqh negeri lain.
Tersebar Periwayatan Hadis Dan Sebabnya
Amalan periwayatan hadis pada zaman sahabat sangat sedikit kerana para sahabat sendiri mengetahui sunnah. Di samping itu terdapat larangan meriwayatkan hadis kerana bimbang berlaku pendustaan terhadap Rasulullah saw dan ditakuti menghalang mereka dari member tumpuan kepada al Quran
Setelah banyak negara telah dibuka oleh kerajaan Islam dan sahabat berselerak di merata tempat seterusnya muncul persoalan yang memerlukan jawapan hukum yang berasaskan sunnah memerlukan periwayatan hadis
Para sahabat dan tabien menuntut ilmu dari sahabat yang banyak meriwayatkan hadis dengan lebih terperinci bagi menyelesaikan persoalan-persoalan fiqh yang berlaku.
Di antara sahabat yang banyak meriwayatkan hadis ialah Abu Hurairah, Jabir al Ansari, Abdullah bin Umar, Abdullah bin Abas, Anas bin Malik dan Aisyah binti Abu Bakar. Mereka ini dapat meriwayatkan hadis dengan begitu banyak kerana :
Pertama : Mereka bersahabat dengan Nabi saw dalam jangka masa yang agak lama dan banyak bersama dengan baginda seperta Anas bin Malik, Saidina Aisyah r.a dan Abu Hurairah
Kedua : Kejayaan mengumpul dan menghafaz hadis-hadis Nabi saw seperti Ibnu Abbas, Ibnu Umar dan Abu Hurairah. Mereka berusaha mendapatkan hadis-hadis Nabi di mana sahaja mereka berada dan mengumpulnya
Kesan Berleluasa Periwayatan Hadis
Pertama : Hukum-hukum fiqh bertambah luas dan banyak hukum yang dapat diistinbatkan dari as summah
Kedua : Banyak berlaku pemalsuan dan rekaan hadis dengan tujuan :
1. Merosakkan aqidah umat Islam.
2. Mempertahankan pendapat firqah masing-masing oleh golongan yang taasub terhadap firqah yang muncul dalam Islam.
3. Memberi galakan beramal seperti fadhilat amalan sesuatu dan takut untuk melakukan kejahatan
Ketiga : Berlakunya pemalsuan hadis telah melambatkan tugas fuqaha untuk memberi ruang kepada fuqaha meneliti dan memeriksa dari segi sanad dan matan hadis untuk memastikan kesahihan hadis tersebut sebelum mengistinbatkan hukum darinya.
Fuqaha’ Iraq meletakkan syarat-syarat yang ketat bagi menerima sesuatu hadis sehingga berkurangan orang yang meriwayatkan hadis dan sedikit sahaja hadis yang dapat diterima. Ini menyebabkan mereka lebih banyak merujuk kepada al Ra’yi.
Keempat : Muncul ilmu baru yang dinamakan ilmu al Jarh wa Ta’dil bertujuan membongkar hal ehwal para perawi seorang demi seorang, memastikan yang benar dan yang palsu, yang kuat ingatan dan yang lemah, hadis yang dipercayai riwayatnya dan hadis yang dipertikaikan.
Madrasah Ahli al Hadis dan Madrasah Ahli al Ra’yi
Fuqaha’ terbahagi kepada dua golongan.
1. Para fuqaha’ lebih cenderung menggunakan nas-nas dan tidak melampauinya. Mereka tidak cenderung kepada al Ra’yi. Mereka berpendapat cara ini terjamin dari fitnah-fitnah yang berlaku dan terselamat dari terjatuh ke dalam kesalahan dan pencerobohan ke atas syariah. Kebanyakan fuqaha’ aliran ini tinggal di Madinah.
2. Satu aliran lagi adalah fuqaha’ yang tidak hanya menggunakan nas-nas, malah mereka menyelami rahsia-rahsianya dan berusaha memahami illat atau sebabnya. Kemudian mereka membina hukum-hukum yang baru berasaskan illat dan rahsia-rahsia tersebut. Fuqaha’ aliran ini kebanyakannya tinggal di Kufah, Iraq
Sebab Muncul Madrasah Ahli al Hadis Di Madinah Dan Ahli al Ra’yi Di Kufah
Pertama : Fuqaha’ dua aliran itu terpengaruh dengan cara dan pendekatan guru-guru mereka.
Kedua : Banyak hadis dan Athar Fiqhiyyah di Madinah kerana ia tempat turunnya wahyu dan tempat kediaman para sahabat.
Berbeza di Kufah kerana banyak berlaku pemalsuan hadis-hadis yang menyebabkan para fuqaha’ tidak mudah menerima hadis-hadis kecuali setelah kajian yang teliti. Inilah sebabnya mengapa mereka hanya menggunakan sedikit hadis dan banyak menggunakan al Ra’yi
Ketiga : Kebanyakan masalah-masalah yang berlaku di Madinah mempunyai persamaan dengan apa yang berlaku pada zaman sahabat. Oleh kerana itulah tidak timbul keperluan menggunakan al ra’yi kecuali sedikit sahaja.
Berlainan halnya dengan kehidupan di Kufah yang mempunyai adat resam yang tersendiri menjadi factor munculnya perbagai masalah baru dan memaksa ulama banyak menggumak al Ra’yi