Wednesday, March 31, 2010

cuci



“Adusss….pe benda lak ni?”
Saya mengeluh selepas membaca mesej yang masuk ke dalam peti mesej saya.
“Anda dikehendaki menyumbang tenaga anda untuk Program Khidmat Masyarakat di rumah seorang ibu tunggal di kampung… bertarikh…. Anda dikehendaki membawa peralatan mencuci dan mengemas sendiri.”

Alamak…! nak kena kemas rumah orang ke? Saya menyeluruhi segenap ruang rumah emak. Sawang sudah bertayut di sana sini. Kali terakhir sapu sawang sebelum raya haji. Sudah 3 bulan. Mop lantai sebulan yang lepas. Haha.. kalau emak tau, taulah saya….

Menjelang tarikh yang dijanjikan saya meminta izin kepada emak mengikut kanda-kanda yang dimaklumi untuk program ziarah. Dengan keberatan saya terpaksa memberitahu emak tentang mengemas dan mencuci kerana meminjam peralatan emak. Sejenak bersoal jawab akhirnya saya pergi membawa kata-kata emak.

Tiba di lokasi saya terpaut melihat sebuah rumah yang agak usang. Tingkap berdaun kayu jenis rumah Melayu lama amat menarik perhatian saya. Saya pernah bercita-cita memiliki rumah bertingkap lepas seperti itu. Ditambah pula pemandangan hamparan sawah padi yang amat mendamaikan. Puputan bayu yang menerobos tingkap yang mendinginkan. Subhanallah….

Kerja-kerja pembersihan dimulakan. Ada yang memesin rumput, menggunting bunga, menyapu daun-daun kering dan sebagainya. Di rumah pula tugas dibahagikan kepada menyapu sawang, menyapu sampah dan mop lantai.

Selesai tugasan kami menjamu tuan rumah dengan bekalan yang dibawa kanda-kanda yang budiman. Sambil makan kami saling berkenal-kenalan dengan tuan runah.

Tuan rumah merupakan seorang mak cik yang tinggal bersama seorang anak lelaki yang tidak begitu sempurna keupayaan untuk hidup normal seperti kebiasaannya selepas diserang demam panas. Anak-anak yang lain masing-masing berkeluarga sendiri dan tinggal berjauhan atas tuntutan kerja. Mak cik ini enggan mengikut anak-anak dengan alasan sayang untuk meninggalkan rumah. Dari segi duit mak cik memang tidak bermasalah kerana anak-anak beliau adalah terdiri daripada golongan orang bekerjaya. Namun kesunyian yang melanda terpaksa ditempuh jua.
.
“Kadang-kadang malu juga dengan orang yang menganggap anak-anak tidak mempedulikan orang tua mereka…” rintih menantu mak cik.

Di rumah itu banyak terdapat tin biskut bersusun di sana-sini. Menurut menantunya, itu adalah hobi mak cik. Walaupun sudah dibuang berkali-kali tetapi mak cik akan mengutipnya kembali. Mak cik tidak suka orang mengusik barang-barangnya sekiranya anak-anak mengemasnya pasti ada sahaja barangnya yang tidak ditemuinya padahal barang itu ada di sisinya.

Biasalah orang tua. Saya sendiri tinggal dengan orang-orang tua. Nenek yang sudah kurang upayanya, emak yang sudah bertongkat, ayah yang dimamah senja. Ibu saudara yang perlu dicakna kerana hanya mampu mengesot di rumahnya. Saya merenung sejenak jauh ke dalam diri mengenang hari tuaku kelak. Tuhan bantulah saya..

Pulang ke rumah esoknya saya membuat operasi solo di rumah berperingkat-peringkat. Bukan hendak membodek emak tetapi berpegang pada sabda rasulullah “kebersihan sebahagian dari iman” dan firman Allah “ Allah amat menyukai keelokan”. Usaha kea rah Baiti Jannati.

No comments: