Sunday, March 28, 2010

merajuk

Saya amat memahami mood anak-anak yang datang ke sekolah sesi petang. Mood lepas tention setelah penat dengan sesi persekolahan di sebelah pagi..Tindak-tanduk mereka lebih agresif dan mereka obses untuk bermain dan bergurau senda dengan kawan-kawan. Namun keberadaan mereka ke sekolah adalah satu anugerah yang sangat besar. Kalau pun tidak lekat di hati, biarlah membekas ke telinga. Mundah-mundahan ada ganjaran pahala di sisi Allah dan semoga Allah mengimbas semula di ingatan mereka sebagai ilham apabila dewasa nanti. Tidak kurang hebat bagi anak-anak yang tekun belajar. Mereka sama letih di sekolah kebangsaan namun tetap konsisten dengan ilmu. Inilah anak-anak yang menjadi harapan agama dan bangsa.

Azam yang dikenali dengan kenakalannya, suka bergaduh dan mengusik kawan-kawannya leka bergurau dengan sahabat yang duduk disebelahnya. Saya memberi tugasan kepada semua murid supaya menghafaz ayat 8 dari surah al Bayyinah. Sementara itu saya memanggil seorang demi seorang murid secara berganti-ganti untuk menguji kelancaran bacaan al Quran mereka. Sekali sekala saya menghentak meja dengan rotan memberi isyarat kepada mereka supaya jangan bising dan tumpukan kepada hafazan masing-masing.

Sepuluh minit sebelum waktu rahat saya mula mentasmi’ hafazan seorang demi seorang. Yang mana berjaya menghafaz saya benarkan mereka keluar rehat apabila loceng rehat dibunyikan. Suasana mula kecoh apabila beberapa murid yang belum ditasmi’ berebut giliran untuk diuji kerana tidak mahu ketinggalan barisan membeli makanan di kantin.

Di antara muka-muka yang terkandas termasuklah Azam dan sahabatnya. Saya tersenyum menyambut giliran Syahmi, sahabat Azam bergurau tadi. Hafazannya lancar dan memuaskan. Dia melepasi tahap piawaian yang saya kehendaki. Saya membenarkan dia pulang kerana ada aktiviti latihan bola baling di sekolah kebangsaan. Tiba giliran Azam, saya tersenyum kepadanya dan bersedia menerima bacaannya. Namun hasilnya amat mengecewakan. Saya menyuruhnya menghafaz lagi sehingga lancar sementara saya mentasmi’ baki murid yang gelisah menunggu giliran.

Telinga saya tekun mengamati hasil hafazan yang dipersembahkan. Namun mata saya tidak lepas dari memerhati tindak tanduk azam yang gelisah. Sekejap menghafaz, sekejap mengusik dan sebagainya. Saya hanya membiarkannya sahaja. Selesai tasmi’ semuanya beredar ke kantin kecuali Azam. Hasil hafazan mereka tidaklah semuanya yang tiptop, tetapi komitmen yang mereka tunjukkan membuatkan saya tidak mahu begitu berkira dengan mereka. Mereka sudah berusaha sebaiknya. Namun tidak bagi Azam.

Dia keseorangan. Dia datang kepada saya. Hasil yang dihantar kepada saya adalah sama seperti tadi. Saya tahu tahap kemampuan otak bagi setiap individu adalah berbeza, tetapi dia perlu diajar.

“Selagi kamu tidak boleh hafaz, kamu jangan rehat dan ustazah tak benarkan kamu balik untuk latihan bola sepak hari ini.”

Saya bangun meninggalkan Azam. Saya menyertai perbincangan guru-guru mengenai hari ihtifal. Dalam hati sebenarnya saya tidak kisah kalau dia hendak keluar rehat atau balik mengikuti latihan bola sepaknya secara curi-curi tanpa pengetahuan saya. Pada fikiran saya dia akan berbuat demikian. Saya nekad hendak melihat reaksi murid yang seorang ini.

Sedang berbincang saya didatangi seorang murid perempuan
“Ustazah, Azam tak makan lagi. Dia menangis dalam kelas sebab tak dapat hafaz”
Saya ke kelas melihat apa yang berlaku. Meja Azam dikerumuni. Kelibatnya tertimbus dek batang-batang tubuh yang mengerumuninya. Sebaik saya tiba perhimpunan itu bubar. Azam menyorokkan mukanya ke dalam lembaran al Quran.

“Azam nak balik ke?” Suara saya slumber bertanyakan soalan bodoh itu. Tiada jawapan. Saya ulang lagi soalan yang sama untuk kali kedua, Tiada jawapan jua. Menunggu seketika memberi ruang kepadanya merayu atau sebagainya. Saya kembali meneruskan perbincangan meninggalkan azam dengan rajuknya. Sensitive juga budak ni. Dalam hati saya amat berbangga kerana sangkaan buruk saya kepadanya adalah meleset. Bererti kenakalannya adalah di tahap biasa sebagai seorang kanak-kanak.

Selesai rehat saya masuk ke kelas. Dia masih tega dengan rajuknya. Dia masih menyorokkan mukanya di celah-celah lembaran al Quran yang dibuka sedikit. Tanpa mempedulikannya saya meneruskan sesi P & P. Sehingga saya tinggalkan kelas untuk masuk ke kelas lain. Setibanya waktu terakhir saya masuk semula ke kelas. Saya lihat Azam sudah menunjukkan mukanya tetapi mulutnya masih berkunci dari sebarang kata. Saya member tugasan Jawi kepada murid-murid agar proses amali solat secara individu berlangsung aman. Selesai seorang murid Azam tampil secara sukarela. Huhu, taktik hendak berdamai barang kali. Semoga dia lebih bertanggung jawab selepas ini.

No comments: