Tuesday, July 6, 2010

AHWAL SYAKHSIAH



“Berkatalah benar walaupun pahit.”
Saya lihat wajah nenek tenang. Dia kelihatannya memahami keadaan kami. Dia berundur dan akur dengan cadangan dan permintaan saya.

Lebih 3 tahun nenek tinggal bersama kami. Nenek, ibu kepada emak, merangkap inu saudara kepada abah. Dalam erti kata lain emak dan abah sepupu. Sejak nenek laki meninggal nenek berulang alik ke rumahnya dan rumah kami yang tidak berapa jauh. Seminggu sekali nenek akan pulang ke rumahnya menjenguk.

Emak saya anak sulung. Namun emak tidak berupaya berjalan sejak nenek laki belum meninggal lagi. Pergerakannya terbatas dengan hanya menggunakan tongkat. Lututnya gagal beroperasi menyebabkan emak tidak boleh duduk di lantai. Dunianya hanya di atas kerusi dan katil. Syukur emak masih mampu berjalan ke bilik air dan dapur. Boleh membasuh pinggan dan masak dengan duduk di atas kerusi.

Sejak April lalu nenek sakit, Emak menjaga nenek yang turut dibantu anaknya. Sehingga Julai keadaan emak dan nenek seolah serupa. Nenek dengan sakitnya dan emak dengan keupayannnya yang semakin terbatas. Tidak tahan melihat emak saya meminta nenek tinggal dengan acuk udin. Pilu hati saya mengungkapkannya kepada nenek tetapi pilu lagi hati saya melihat keadaan emak.

Subhanallah.. Kalau melihat emak menjaga nenek, tidak sampai hati saya hendak membiarkan emak. Tetapi tidak pasti, mampukah saya melakukan seperti emak?

“Ibu/bapa seorang boleh menjaga sepuluh anak, tetapi sepuluh anak belum tentu boleh menjaga seorang ibu/anak”. Menjaga anak memeng sukar. Tetapi anak-anak adalah milik ibu dan ayah. Apabila anak-anak sudah dewasa mereka akan menjadi suami/isteri orang dan mempunyai kehidupan sendiri. Toleransi anak sesame adik beradik perlulah diperkasakan supaya tidak hanya sebahagian yang mengambil berat. Sebahagian lagi hanya melepas tangan kerana melihat kefarduan itu telah terlaksana. Jadikanlah kefarduan menjaga ibu bapa adalah fardu ain dan bukan fardu kifayah. Kalau kita merasa susah menjaganya, tentu orang lain juga turut merasainya. Bergilirlah dan berpakatlah. Moga hidup kita semua bahagia.

Pelajaran ini Allah kirimkan terus untuk saya. Mampukah saya mengaplikasikannya? TUHAN, jangan kau jahilkan aku setelah kau beri aku pelajaran.

“Anak-anak sekalian, tunjukkanlah contoh terbaik kepada anak-anakmu kelak. Semoga Allah menjinakkan hatinya untuk menjadi anak yang soleh lagi solehah. Sekiranya kita menganiyai orang tua kita, takutilah, anak-anak kita melakukan perkara yang sama kepada kita kerana kita yang mengajarnya sedemikian rupa.”

Tuhan, kau restuilah usaha kami. Jangan kau duga kami dengan ujian yang tidak mampu kami menanggungnya. Malah kau teguhkanlah iman kami sekalian. Amin.”

No comments: