Wednesday, March 31, 2010

cuci



“Adusss….pe benda lak ni?”
Saya mengeluh selepas membaca mesej yang masuk ke dalam peti mesej saya.
“Anda dikehendaki menyumbang tenaga anda untuk Program Khidmat Masyarakat di rumah seorang ibu tunggal di kampung… bertarikh…. Anda dikehendaki membawa peralatan mencuci dan mengemas sendiri.”

Alamak…! nak kena kemas rumah orang ke? Saya menyeluruhi segenap ruang rumah emak. Sawang sudah bertayut di sana sini. Kali terakhir sapu sawang sebelum raya haji. Sudah 3 bulan. Mop lantai sebulan yang lepas. Haha.. kalau emak tau, taulah saya….

Menjelang tarikh yang dijanjikan saya meminta izin kepada emak mengikut kanda-kanda yang dimaklumi untuk program ziarah. Dengan keberatan saya terpaksa memberitahu emak tentang mengemas dan mencuci kerana meminjam peralatan emak. Sejenak bersoal jawab akhirnya saya pergi membawa kata-kata emak.

Tiba di lokasi saya terpaut melihat sebuah rumah yang agak usang. Tingkap berdaun kayu jenis rumah Melayu lama amat menarik perhatian saya. Saya pernah bercita-cita memiliki rumah bertingkap lepas seperti itu. Ditambah pula pemandangan hamparan sawah padi yang amat mendamaikan. Puputan bayu yang menerobos tingkap yang mendinginkan. Subhanallah….

Kerja-kerja pembersihan dimulakan. Ada yang memesin rumput, menggunting bunga, menyapu daun-daun kering dan sebagainya. Di rumah pula tugas dibahagikan kepada menyapu sawang, menyapu sampah dan mop lantai.

Selesai tugasan kami menjamu tuan rumah dengan bekalan yang dibawa kanda-kanda yang budiman. Sambil makan kami saling berkenal-kenalan dengan tuan runah.

Tuan rumah merupakan seorang mak cik yang tinggal bersama seorang anak lelaki yang tidak begitu sempurna keupayaan untuk hidup normal seperti kebiasaannya selepas diserang demam panas. Anak-anak yang lain masing-masing berkeluarga sendiri dan tinggal berjauhan atas tuntutan kerja. Mak cik ini enggan mengikut anak-anak dengan alasan sayang untuk meninggalkan rumah. Dari segi duit mak cik memang tidak bermasalah kerana anak-anak beliau adalah terdiri daripada golongan orang bekerjaya. Namun kesunyian yang melanda terpaksa ditempuh jua.
.
“Kadang-kadang malu juga dengan orang yang menganggap anak-anak tidak mempedulikan orang tua mereka…” rintih menantu mak cik.

Di rumah itu banyak terdapat tin biskut bersusun di sana-sini. Menurut menantunya, itu adalah hobi mak cik. Walaupun sudah dibuang berkali-kali tetapi mak cik akan mengutipnya kembali. Mak cik tidak suka orang mengusik barang-barangnya sekiranya anak-anak mengemasnya pasti ada sahaja barangnya yang tidak ditemuinya padahal barang itu ada di sisinya.

Biasalah orang tua. Saya sendiri tinggal dengan orang-orang tua. Nenek yang sudah kurang upayanya, emak yang sudah bertongkat, ayah yang dimamah senja. Ibu saudara yang perlu dicakna kerana hanya mampu mengesot di rumahnya. Saya merenung sejenak jauh ke dalam diri mengenang hari tuaku kelak. Tuhan bantulah saya..

Pulang ke rumah esoknya saya membuat operasi solo di rumah berperingkat-peringkat. Bukan hendak membodek emak tetapi berpegang pada sabda rasulullah “kebersihan sebahagian dari iman” dan firman Allah “ Allah amat menyukai keelokan”. Usaha kea rah Baiti Jannati.

Sunday, March 28, 2010

26


Menjelang 27 Mac setiap tahun umur saya pasti beranjak angka. Tahun 2010 saya menyambut bari ulang tahun yang ke-26. “Bila nak matang?” Itu soalan kakak yang selalu menyentap jantung dan hati saya.

25 tahun berlalu tidak banyak yang membanggakan saya. Bukan salah siapa-siapa. Kejahilan dan kelalaian sendiri dalam mengurus hidup. Mengenang kisah silam membikin diri malu sendiri. Jadikan 26 jambatan kedewasaan.

Terima kasih pada Azizah menghadiahi saya sebuah buku “Rahsia Kekhusyukan Wanita Dalam Solat”. Terima kasih juga kepada Celcom memberi panggilan dan sms percuma kepada 8 nombor yang didaftar selama 7 hari. Terima kasih tidak terhingga kepada semua yang mengingati dan mendoakan keselamatan saya.

merajuk

Saya amat memahami mood anak-anak yang datang ke sekolah sesi petang. Mood lepas tention setelah penat dengan sesi persekolahan di sebelah pagi..Tindak-tanduk mereka lebih agresif dan mereka obses untuk bermain dan bergurau senda dengan kawan-kawan. Namun keberadaan mereka ke sekolah adalah satu anugerah yang sangat besar. Kalau pun tidak lekat di hati, biarlah membekas ke telinga. Mundah-mundahan ada ganjaran pahala di sisi Allah dan semoga Allah mengimbas semula di ingatan mereka sebagai ilham apabila dewasa nanti. Tidak kurang hebat bagi anak-anak yang tekun belajar. Mereka sama letih di sekolah kebangsaan namun tetap konsisten dengan ilmu. Inilah anak-anak yang menjadi harapan agama dan bangsa.

Azam yang dikenali dengan kenakalannya, suka bergaduh dan mengusik kawan-kawannya leka bergurau dengan sahabat yang duduk disebelahnya. Saya memberi tugasan kepada semua murid supaya menghafaz ayat 8 dari surah al Bayyinah. Sementara itu saya memanggil seorang demi seorang murid secara berganti-ganti untuk menguji kelancaran bacaan al Quran mereka. Sekali sekala saya menghentak meja dengan rotan memberi isyarat kepada mereka supaya jangan bising dan tumpukan kepada hafazan masing-masing.

Sepuluh minit sebelum waktu rahat saya mula mentasmi’ hafazan seorang demi seorang. Yang mana berjaya menghafaz saya benarkan mereka keluar rehat apabila loceng rehat dibunyikan. Suasana mula kecoh apabila beberapa murid yang belum ditasmi’ berebut giliran untuk diuji kerana tidak mahu ketinggalan barisan membeli makanan di kantin.

Di antara muka-muka yang terkandas termasuklah Azam dan sahabatnya. Saya tersenyum menyambut giliran Syahmi, sahabat Azam bergurau tadi. Hafazannya lancar dan memuaskan. Dia melepasi tahap piawaian yang saya kehendaki. Saya membenarkan dia pulang kerana ada aktiviti latihan bola baling di sekolah kebangsaan. Tiba giliran Azam, saya tersenyum kepadanya dan bersedia menerima bacaannya. Namun hasilnya amat mengecewakan. Saya menyuruhnya menghafaz lagi sehingga lancar sementara saya mentasmi’ baki murid yang gelisah menunggu giliran.

Telinga saya tekun mengamati hasil hafazan yang dipersembahkan. Namun mata saya tidak lepas dari memerhati tindak tanduk azam yang gelisah. Sekejap menghafaz, sekejap mengusik dan sebagainya. Saya hanya membiarkannya sahaja. Selesai tasmi’ semuanya beredar ke kantin kecuali Azam. Hasil hafazan mereka tidaklah semuanya yang tiptop, tetapi komitmen yang mereka tunjukkan membuatkan saya tidak mahu begitu berkira dengan mereka. Mereka sudah berusaha sebaiknya. Namun tidak bagi Azam.

Dia keseorangan. Dia datang kepada saya. Hasil yang dihantar kepada saya adalah sama seperti tadi. Saya tahu tahap kemampuan otak bagi setiap individu adalah berbeza, tetapi dia perlu diajar.

“Selagi kamu tidak boleh hafaz, kamu jangan rehat dan ustazah tak benarkan kamu balik untuk latihan bola sepak hari ini.”

Saya bangun meninggalkan Azam. Saya menyertai perbincangan guru-guru mengenai hari ihtifal. Dalam hati sebenarnya saya tidak kisah kalau dia hendak keluar rehat atau balik mengikuti latihan bola sepaknya secara curi-curi tanpa pengetahuan saya. Pada fikiran saya dia akan berbuat demikian. Saya nekad hendak melihat reaksi murid yang seorang ini.

Sedang berbincang saya didatangi seorang murid perempuan
“Ustazah, Azam tak makan lagi. Dia menangis dalam kelas sebab tak dapat hafaz”
Saya ke kelas melihat apa yang berlaku. Meja Azam dikerumuni. Kelibatnya tertimbus dek batang-batang tubuh yang mengerumuninya. Sebaik saya tiba perhimpunan itu bubar. Azam menyorokkan mukanya ke dalam lembaran al Quran.

“Azam nak balik ke?” Suara saya slumber bertanyakan soalan bodoh itu. Tiada jawapan. Saya ulang lagi soalan yang sama untuk kali kedua, Tiada jawapan jua. Menunggu seketika memberi ruang kepadanya merayu atau sebagainya. Saya kembali meneruskan perbincangan meninggalkan azam dengan rajuknya. Sensitive juga budak ni. Dalam hati saya amat berbangga kerana sangkaan buruk saya kepadanya adalah meleset. Bererti kenakalannya adalah di tahap biasa sebagai seorang kanak-kanak.

Selesai rehat saya masuk ke kelas. Dia masih tega dengan rajuknya. Dia masih menyorokkan mukanya di celah-celah lembaran al Quran yang dibuka sedikit. Tanpa mempedulikannya saya meneruskan sesi P & P. Sehingga saya tinggalkan kelas untuk masuk ke kelas lain. Setibanya waktu terakhir saya masuk semula ke kelas. Saya lihat Azam sudah menunjukkan mukanya tetapi mulutnya masih berkunci dari sebarang kata. Saya member tugasan Jawi kepada murid-murid agar proses amali solat secara individu berlangsung aman. Selesai seorang murid Azam tampil secara sukarela. Huhu, taktik hendak berdamai barang kali. Semoga dia lebih bertanggung jawab selepas ini.

Monday, March 8, 2010

IN SYA ALLAH

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Rasulullah menceritakan kepada sahabat-sahabat baginda mengenai kisah Nabi Sulaiman a.s yang memiliki 60 orang isteri

Dia berkata kepada dirinya “aku akan meniduri isteri-isteriku yang seramai 60 orang ini secara bergilir-gilir dalam satu malam. Sudah tentu semua isteriku ini akan mengandung dan melahirkan anak-anak lelaki dalam masa yang sama. Dengan demikian dapatlah aku bentuk sebuah pasukan berkuda dan berjuang di jalan Allah.”

Pada malam yang ditentukan Nabi Sulaiman a.s meniduri isteri-isterinya secara bergilir-gilir dalam satu malam sahaja. Namun perancangannya tidak menjadi. Daripada 60 orang isterinya itu hanya seorang yang hamil dan melahirkan seorang anak lelaki.

Rasulullah mengulas kisah ini dengan bersabda “Kalaulah Nabi Sulaiman a.s menyertakan azamnya dengan lafaz IN SYA ALLAH sudah tentu semua isterinya itu akan mengandung dan melahirkan anak lelaki yang boleh dijadikan pasukan berkuda untuk berjuang di jalan Allah seperti yang diharapkannya.

Pengajarannya sebagai hamba Allah kita tidak punya kuasa sedikit pun untuk menentukan berjaya atau tidaknya sesuatu yang kita rancang walau serapi mana pun perancangan itu

Buah Tangan Dari YB


“Happy New Year’
Kanda mengukir senyum manis lalu memberi bungkusan plastic kecil berbunga-bunga berisi 2 biji limau. Kanda juga meninggalkan kad ucapan bertulisan cina kepada tauke ikan di market.
“YB kasi”
“Thank you ar”
Saya lihat wajah tauke itu berseri-seri menerima pemberian itu.
Saya mengikut beberapa kanda dan bonda menjelajahi pekan koboi bertemu dengan peniaga-peniaga berbangsa Cina menyampaikan buah tangan YB sempena Tahun Baru Cina. Kedai makan, farmasi, klinik, kedai cenderamata semuanya kami pijak. Yang paling tak tahan kedai nombor ekor pun turut tidak ketingalan. “Boleh ke erk?”.Kanda agak ragu tapi saya meyakinkannya. Barang siapa yang tahu hokum sebenar tolong catatkan di ruangan komen.
Pemberian itu tidaklah besar nilai pada zahirnya, namun menjadi insan yang terpilih untuk menjadi penerima adalah amat besar maknanya. Saya berpeluang merasainya apabila saya turut menjadi penerima buah limau dari seorang pemilik permis yang berbangsa India turut mengagih limau yang dihadiahkan dari rakan niaga yang berbangsa Cina.
“Mimpi Tanpa Keberanian Tidak akan Bermakna”. Kerja ni nampak je mudah. Tapi kalau tidak dipasak dengan kejituan mesti hampeh. (saya la tu) Malu tau. Macam buat kerja salah je. Saya lebih rela mengusung kotak-kotak limau dari berjumpa dengan orang-orang berkenaan itu. Jadi, kanda-kandalah yang jadi penyampai. Saya cuma perhatikan cara mereka berkerja yang pastinya akan saya simpan di kantong pengalaman.

Mengintai Hidayah Umar

Siapa yang tidak kenal tentang kebengisan Umar dan menjadi seteru ketat pada awal kedatangan Islam menjadi berubah dalam sekelip mata

Beliau sangat marah apabila mendapat berita Muhammad s.a.w menjadi utusan Allah menyebarkan Islam, Beliau membawa pedangnya hendak memenggal kepala Rasulullah. Dalam perjalanan beliau ditegur seorang rakan yang memberitahu beliau bahawa adiknya sedniri iaitu Fatimah dan suaminya Said bin Zaid telah memeluk Islam

Umar amat terkejut dan tersinggung dengan berita itu.Dengan perasaan yang sangat marah yang tidak tertahan-tahan beliau terus ke rumah Fatimah untuk memberi pengajaran kepada adiknya itu.

Dari luar kediaman Fatimah beliau mendengar adiknya membaca sesuatu yang pelik. Tanpa membuang masa beliau terus menyerbu masuk dan mahu memukul adik iparnya Said. Pukulannya tersasar sebaliknya mengenai Fatimah yang berusaha melindungi suaminya.

Melihat kepala adiknya berdarah beliau amat menyesal dan cuba berlembut dengan meminta ditunjukkan bahan yang dibaca oleh Fatimah.Itulah surah Taha yang menjadikan Saidina Umar lembut hati dan menyerah diri kepada Islam.