Thursday, December 29, 2011

berat



Saya selalu teringat pesan rasulullah bila melihat kemungkaran hendaklah kau cegah dengan tangan (kuasa). Kalau tidak mampu, dengan lidah. Kalau tidak mampu juga, dengan hati. Dengan hati itulah selemah-lemah iman.


Begitulah hakikat umat pada akhir zaman. Ramai, tetapi ibarat buih di lautan. Maksiat berleluasa di sekeliling kita tetapi tidak berani hendak mencegahnya. Malah apabila ada yang berani mencegahnya mulalah cacian dan cercaan lalu ditumpahkan. Kononnya dakwah tak kena cara dan sebagainya. Ya Rasul, bagaimana saya hendak bertemu denganmu dengan membawa seribu ketakutan ini?


Kasihnya saya pada sahabat yang tidak menjaga aurat dan meremehkan amanah. Dalam hati membuak-buak kata teguran dan amaran Allah. Namun segalanya terhijab. Bagaimana sayangku ini. Saya juga manusia berdosa. Namun saya juga berusaha memperbaiki diri dan ingin sekali beramai-ramai membaikinya bersama-sama.


Saya belajar sifat-sifat mulia dari mereka. Malah hati mereka lebih mulus dalam bersaudara. Tetapi sayangnya mereka meremehkan aurat. Kasihanilah kami ya Allah. Bantulah kami ya Allah. Saya tiada jawapan bila KAU tanyakan soalan mengapa saya tidak menegur dan memberitahu mereka ya Allah. Beratnya tanggungjawab ini

Tuesday, December 27, 2011

Round Abaut



Persimpangan sudah berpusing mengelilingi minda 360 darjah. Semuanya perlu diperhatikan untuk membuat keputusan seterusnya diambil tindakan.


Kalau dalam pekerjaan, semakin tinggi jawatan seseorang semakin berat pula tanggungjawabnya. Sebab itu gaji orang yang berjawatan tinggi mahal. Sesuai dengan tanggung jawabnya. Kita yang menjadi orang bawahan sering cemburu melihat tangga gaji orang atasan.


Persimpangan dalam keluarga pula adalah bab menjaga hati. Ditelan mati mak diluah mati bapak. Di antara pengorbanan dan terkorban. Apabila pengorbanan disalah gunakan menyebabkan ada yang terkorban. Air yang dicincang menjadi thunami yang membinasakan. Semoga Allah merahmati hubungan kita dalam bersaudara.


Dalam fitrah perhubungan pula ujian dan cabaran dengan kehadiran orang ketiga mahupun keseterusnya. Bumi mana tidak ditimpa hujan? Laut mana yang tidak bergelora? Manusia mana yang tidak membuat kesilapan? Segalanya adalah rencah penyeri dalam kehidupan. Manusia sukakan cabaran. Kalau permainan tiada cabaran pasti membosankan.


Bayangkan segalanya berhimpun di minda yang satu. Bagaimana kita hendak menghadapinya?. Di sinilah tahap keimanan orang yang beriman dinilai. Ujian tidak berlaku hanya kepada kesusahan. Kesenangan juga adalah ujian. Kita mengambil iktibar peristiwa yang menimpa kepada Qarun dan Fir'aun. Mereka tersungkur di dalam ujian kesenangan.


Kesyukuran di kala senang dan susah perlu diteruskan. Apa lagi yang boleh dilakukan sebagai hamba selain menzahirkan rasa kesyukuran kepada tuhannya. Tuhan yang memberi segala kenikmatan tanpa menilai kesyukuran dan kekufuran. Dia yang maha memberi. Dia yang maha berkuasa. Peliharalah kami dalam kasih sayangMu tuhan

Wednesday, December 21, 2011

'yes' or 'no'



Sukarnya membuat keputusan. Sukarnya untuk mengungkapkan 'no' walaupun itulah keputusan dari hati. Mudahnya bibir melafazkan 'yes' tapi bukan dari hati yang rela

Tuesday, December 20, 2011

Awan Nano - Hafiz (Final Fantacy) -Lyric



Pertama kali dengar lagu ni masa layan 'vokal bukan sekadar rupa'. Pastinya lagu ini meninggalkan kesan yang berbeza buat Mafa dan saingannya.


Apabila mengimpikan sesuatu yang diidami ramai kita berlu bersedia untuk gagal di samping berusaha untuk mendapatkannya sehabis daya usaha. Andai tidak berjaya juga itu bukan rezeki kita dan ada hikmahnya mengapa kita tidak memilikinya. Inilah motivasi bagi orang Islam. Allah akan melihat usaha kita.


Ini adalah satu perumpamaan. Irama dan lagu tidak dapat dipisahkan. Cara seseorang menghayati lagu adalah berlainan posisinya. Adakah posisi yang saya punyai ini benar? Ahh, Berhibur tiada salahnya kerna hiburan itu indah. Layannn...



Monday, December 19, 2011

Bila sudah dewasa


Saya masih ingat semasa masih di bangku sekolah, ketika masih menerima wang saku dari bapa, bagai tidak sabar hendak menjadi dewasa supaya saya dapat bekerja dan mencari wang sendiri dan membeli apa yang dihajati


Bila tamat SPM saya mula gelisah apabila sukarnya diterima bekerja kerana kurangnya serba serbi yang dimahukan majikan. Saya sambung tingkatan 6 dan seterusnya... Memori terus memalu gendang sejarah kehidupan. Setiap saat yang berlalu dengan peristiwa yang telah ditentukan. Saya malu untuk mengenangnya kembali.


Usia terus merangkak tanpa henti.Dewasa bertamu dan menemani minta diertikan tentang impian hingusan dahulu. Tanggungjawab dan cabaran silih berganti mencorak lukisan sebuah kedewasaan. Saya sudah dewasa pada usia. Namun pada pemikiran dan tingkah laku masih lagi dipersoalkan. Mengapa ianya tidak berjalan seiring? Tepuk dada dan ketuklah minda.


Adakah saya dikatakan tidak bersyukur dengan nikmat yang telah saya kecapi selama hari ini sekiranya saya katakan " Kalaulah saya dapat menjadi kanak-kanak semula alangkah indahnya".
Ketahuilah bahawa Rasulullah amat tidak menyukai kalimah KALAU.


Sememangnya zaman kanak-kanak sangat indah. Zaman dewasa juga ada keistimewaannya yang tersendiri. Kedua-duanya saling melengkapi sebuah kehidupan yang hanya sebagai persinggahan. Semua makhluk akan menuju ke destinasi yang satu. Nun Di situ....

Thursday, December 8, 2011



Kecil bersama, sudah besar membawa haluan mencari kehidupan, ayah ibu pengikat kasih.