Sunday, May 8, 2011

menjadi seorang anak


Melewati hari ibu tanpa ibu di sisi. Kehidupan tetap perlu diteruskan. Bagi orang Islam sambutan hari ibu hanya untuk meraikan sesuatu yang sebenarnya memang diraikan setiap masa.

Kasih terhadap ibu bapa wajib sentiasa di hati. Keredhaan Allah terletak pada keredhaan kedua ibu bapa. Sekiranya kita menyakiti mereka, tunggulah azab yang pedih dari Allah. Ancaman ini perlu diteliti oleh setiap insane bergelar anak. Adakah selama ini kita benar-benar tidak pernah menyakiti mereka? Adakah kita benar-benar pasti? Betapa murninya hati mereka, sebesar mana pun kesalahan kita mereka pasti akan memaafinya. Mereka tidak pernah merasa bahagia apabila mengetahui anaknya sengsara.

Bagi anak, perlu melebihkan ibu 3 kali dan kemudian barulah bapa. Itulah keistimewaan yang Allah kurniakan kepada wanita. Sesungguhnya Allah Maha adil dalam memberikan hak dan tugasan kepada sekalian makhluk. Tidak wujud lagi persoalan.

Menjadi seorang anak yang dicorak oleh ibu bapa dengan acuan yang mereka mahu. Terpulang atas kehendak masing-masing. Kalau acuannya baik tetapi hasilnya tidak menjadi barangkali itu ujian dan perlu dibaiki. Kalaulah acuannya buruk amat mustahil hasilnya menjadi baik. Tetapi dengan kuasa Allah apa yang Allah kehendaki, ia pasti akan berlaku.

Anak adalah anugerah dan amanah bagi ibu bapa. Dan anak-anak yang diberi didikan dan tunjuk ajar wajib berfikir dengan akal yang dianugerahkan oleh Allah hanya kepada manusia.

Berdoalah agar kita menjadi anak yang soleh dan member ketenangan kepada ibu bapa. Jauhilah diri dari menjadi anak yang sentiasa menyusah dan menyesakkan fikiran ibu bapa. Kalaulah ada perkara yang menyusahkan hati mereka itu bukanlah berlaku dengan niat sengaja.

No comments: