Apa ada pada Sabtu? Hari cuti dan rehat dari kerja di pejabat. Saya manfaatkan Sabtu saya sehabis baik yang saya rasakan. Kalau di kampung dulu dari Isnin sampai Ahad adalah statik. Tinggal dengan famili mengikat saya dengan kerja-kerja seorang suri. Dari bangun tidur sampa tidur semula segalanya sedia terbentang di minda, Kalau ada yang culas akan mendapat penalti. Itulah rona diari hidup saya yang sangat indah
Berlainan Sabtu sendirian tanpa famili. Saya tidak betah mahu menyambung tidur seusai solat subuh seperti amalan gadis-gadis kota. Saya mewarnai pagi Sabtu saya dengan beralas kurma penyokong tenaga amalan sunnah. Saya meredah keheningan pagi di Putrajaya. Melazimi damai kota yang jauh berbeza. Mengajar minda berimaginasikan sebuah kedamaian versi kota Tertib kenderaan berpusu tenang, Pekerja perbandaran tekun mengindah gubahan taman, Kompleks perniagaan masih ada yang berbungkus dingin. Warganya yang menghidupkan pagi dengan wajah ceria. Alhamdulillah
Kalau di kampung, sungguh damainya tiada bandingan, malang saya tidak sempat menikmatinya. Berkejar waktu mendisplini tugas mengikut piawaian capaian NKRA. Tugas bukanlah paksaan, tetapi tanggungjawab. Membuat sarapan, kemas rumah, cuci pakaian, masak makanan tengah hari dan seterusnya untuk famili.
Allah memberi saya merasa nikmatnya hidup. Adunan rencahnya amat memukau rasa. Bermula dengan zaman kanak-kanak dikelilingi adik beradik yang ramai, di sekolah punya sahabat yang mendidik jiwa, di universiti berkenalan dengan tarbiyah, kembali ke pangkuan famili bekerja sambil mengisi rutin seorang suri dan kini saya di lepaskan bak seekor burung yang bebas memilih haluan dan membuat keputusan
Ya Allah, Saya memohon agar KAU tunjuki saya ke jalan yang kau Redhai. Saya masih terpinga-pinga untuk menempuh jalan yang bakal saya redahi. Saya masih jahil dengan petunjuk-petunjuk arah yang KAU beri. Saya masih alpa dengan bahaya-bahaya yang cuba menghampiri. Sedangkan destinasi dan matlamatnya adalah PASTI. Kebahagiaan di negeri abadi
Hari Sabtu saya isi dengan aktiviti kecergasan. Berjalan kaki. Otak yang cerdas berada di dalam tubuh badan yang cergas. Lima hari tubuh dibungkus dingin penyaman udara bagai mengecutkan seluruh kapilari darah merembeskan kelesuan di segenap ruang anggota tubuh. Saya menyahut seruan dan kempen-kempen kerajaan agar mengamalkan gaya hidup sihat. Semoga usaha saya untuk menyahkan penyakit kronik dari tubuh badan saya berhasil.
Di tasik pembentungan warga Presint 9 dan kawasan sekitarnya yang berkelapangan berlegar dengan cara masing-masing. Ada yang berjoging, berjalan kaki mengelilingi tasik, di samping tidak kurang juga ada yang menggunakan alatan senaman yang disediakan tidak mengira usia tua mahupun muda, berteman mahupun bersendirian. Semuanya memerah keringat mengisi kehangatan bagi mencairkan lemak-lemak yang menghalang segala operasi tubuh lancar, agar ibadah pula akan terus maju refleksi kesyukuran mencelah raih rahmat ALLAH yang begitu berharga.
Sabtu saya isikan dengan curahan senyuman dan salam buat teman seangkatan yang mengharapkan kecergasan dari Allah agar bertaut juga kasih sayang sesama umat. Berpijak di bumi dengan menzahir ketaqwaan kepada Allah. Jauh perjalanan luas pemandangan dan timbalah pengalaman. Guru yang paling hemah dalam pengajaran.