Monday, August 23, 2010

Tuesday, August 10, 2010

reminder... SUBHANALLAH



Subuh itu, dalam tidur-tidur ayam saya mendengar isyarat mesej dari telefon bimbit saya. Tidak lama kemudian panggilan syahdu azan subuh memenuhi ruang angkasa. Saya masih enak melingkar di katil warisan turun temurun yang usang, namun masih utuh menghamba khidmatnya. Belum pun usai lafaz azan berkumandang saya bangun mencapai telefon bimbit dan kembali menghumban tubuh ke katil sambil membaca mesej. Saya ingin kongsikan mutiara hikmah yang saya terima dari seorang rakan ukhwah yang hanya mesra lewat mesej-mesej berhikmah. Sapaan ringkas di program ukhwah menautkan hati kami untuk terus berjalin saudara.
“Salam. Penerbangan Subuh Air Ways akan berlepas beberapa puluh minit lagi. Kepada penumpang yang belum menaiki pesawat, sila percepatkan perjalanan. Sila daftarkan diri di sejadah, pastikan anda membawa dokumen wudu’ pakaian bersih dan tutup aurat. Kemudian menaiki tangga niat yang ikhlas. Memasuki pintu takbiratul ihram. Anda akan ditemani oleh pramugari syarak yang akan memastikan perilaku anda dalam pesawat sentiasa betul. Selamat menuju ke destinasi Pulau Keredhaan. Kepada yang terlepas, sila daftar diri di kaunter taubat dan qada.”

Bingkas bangun lantas saya memikirkan keindahan perumpaman itu. Kenangan menaiki pesawat kembali saya imbas. Segala persiapan dengan penuh hati-hati. Mengapa tidak pada tugas sepenting SOLAT? Amaran Surah al Maun juga tenggelam timbul menyusuri gelita hati saya. Ya Allah…. Jangan Kau lupakan aku saat aku menanti giliran di gelanggang MahsyarMu. Naungi aku dengan redup ArasyMu.

Syukur ada peringatan sedang saya lalai dibuai. Pasti Allah mengirimkan ilham ini kepada seseorang yang penuh hikmah. Agar hati yang menerimanya merasa bertemu hidayah.