
Thursday, December 8, 2011
Saturday, November 26, 2011
REDAH

Saya nekad untuk redahi taklifan esok. Allah sentiasa bersama saya. Usaha itu tanggungjawab saya. Natijahnya dalam tangan Allah
Esok saya akan redah ke PICC. Menurut pemandu bas yang saya naiki ke Alamanda tadi saya perlu naik bas bernombor 600 untuk ke sana. Tawakkal. Moga Allah permudahkan saya dalam taklifan ini.
Dua minggu lepas saya mendapat memo bahawa nama saya tersenarai dalam kalangan 31 orang yang perlu menghadiri Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan di Dewan Plenari. Pada mulanya saya ingin menarik diri tetapi saya gagal berbuat demikian kerana bebanan tugas. Sehinggs semalam saya menunggu email maklumat program tersebut ternyata tiada. Tunggu dan lihat saja. Jiwa saya bergetar. Bagaimana ekspidisi redahan saya esok?
Bak peristiwa hijrah Rasulullah saw. Baginda mendapat wahyu berupa perintah lalu baginda melaksanakannya debgan penuh payah.
Ya Allah permudahkan langkahku esok
Wednesday, November 23, 2011
rindu redan

Sewaktu saya melangkah kaki menaiki pesawat pulang ke tanah air di Mator Qadim Kaherah saya memasang niat di hati akan kembali semula ke sini. Walaupun tipis namun saya amat berharap.
Sampai di kampung, seperti yang saya jangkakan. Kenyataan abang buat saya pasrah. Saya berusaha sendiri untuk tidak mengalah, tapi bukan rezeki saya.
Rindu. Apakah makna rindu ini? Rindu yang amat jauh di sudut hati melakar terkilan yang tak sudah. "Ada hikmahnya" Saya memujuk hati.
Saya akan ke sana insya Allah. Allah yang menentu segalanya.
Thursday, October 27, 2011
Catatan Sabtu
Apa ada pada Sabtu? Hari cuti dan rehat dari kerja di pejabat. Saya manfaatkan Sabtu saya sehabis baik yang saya rasakan. Kalau di kampung dulu dari Isnin sampai Ahad adalah statik. Tinggal dengan famili mengikat saya dengan kerja-kerja seorang suri. Dari bangun tidur sampa tidur semula segalanya sedia terbentang di minda, Kalau ada yang culas akan mendapat penalti. Itulah rona diari hidup saya yang sangat indah
Berlainan Sabtu sendirian tanpa famili. Saya tidak betah mahu menyambung tidur seusai solat subuh seperti amalan gadis-gadis kota. Saya mewarnai pagi Sabtu saya dengan beralas kurma penyokong tenaga amalan sunnah. Saya meredah keheningan pagi di Putrajaya. Melazimi damai kota yang jauh berbeza. Mengajar minda berimaginasikan sebuah kedamaian versi kota Tertib kenderaan berpusu tenang, Pekerja perbandaran tekun mengindah gubahan taman, Kompleks perniagaan masih ada yang berbungkus dingin. Warganya yang menghidupkan pagi dengan wajah ceria. Alhamdulillah
Kalau di kampung, sungguh damainya tiada bandingan, malang saya tidak sempat menikmatinya. Berkejar waktu mendisplini tugas mengikut piawaian capaian NKRA. Tugas bukanlah paksaan, tetapi tanggungjawab. Membuat sarapan, kemas rumah, cuci pakaian, masak makanan tengah hari dan seterusnya untuk famili.
Allah memberi saya merasa nikmatnya hidup. Adunan rencahnya amat memukau rasa. Bermula dengan zaman kanak-kanak dikelilingi adik beradik yang ramai, di sekolah punya sahabat yang mendidik jiwa, di universiti berkenalan dengan tarbiyah, kembali ke pangkuan famili bekerja sambil mengisi rutin seorang suri dan kini saya di lepaskan bak seekor burung yang bebas memilih haluan dan membuat keputusan
Ya Allah, Saya memohon agar KAU tunjuki saya ke jalan yang kau Redhai. Saya masih terpinga-pinga untuk menempuh jalan yang bakal saya redahi. Saya masih jahil dengan petunjuk-petunjuk arah yang KAU beri. Saya masih alpa dengan bahaya-bahaya yang cuba menghampiri. Sedangkan destinasi dan matlamatnya adalah PASTI. Kebahagiaan di negeri abadi
Hari Sabtu saya isi dengan aktiviti kecergasan. Berjalan kaki. Otak yang cerdas berada di dalam tubuh badan yang cergas. Lima hari tubuh dibungkus dingin penyaman udara bagai mengecutkan seluruh kapilari darah merembeskan kelesuan di segenap ruang anggota tubuh. Saya menyahut seruan dan kempen-kempen kerajaan agar mengamalkan gaya hidup sihat. Semoga usaha saya untuk menyahkan penyakit kronik dari tubuh badan saya berhasil.
Di tasik pembentungan warga Presint 9 dan kawasan sekitarnya yang berkelapangan berlegar dengan cara masing-masing. Ada yang berjoging, berjalan kaki mengelilingi tasik, di samping tidak kurang juga ada yang menggunakan alatan senaman yang disediakan tidak mengira usia tua mahupun muda, berteman mahupun bersendirian. Semuanya memerah keringat mengisi kehangatan bagi mencairkan lemak-lemak yang menghalang segala operasi tubuh lancar, agar ibadah pula akan terus maju refleksi kesyukuran mencelah raih rahmat ALLAH yang begitu berharga.
Sabtu saya isikan dengan curahan senyuman dan salam buat teman seangkatan yang mengharapkan kecergasan dari Allah agar bertaut juga kasih sayang sesama umat. Berpijak di bumi dengan menzahir ketaqwaan kepada Allah. Jauh perjalanan luas pemandangan dan timbalah pengalaman. Guru yang paling hemah dalam pengajaran.
Thursday, October 13, 2011
Yang mana satu?

Kita boleh memilih sekiranya ada banyak penawaran. Pastikan pilihan kita adalah tepat benar dan tidak menyalahi undang-undang dunia mahupun akhirat.
Ramai orang mencintai kebersihan. Rasanya hamper tiada yang suka kotor dan serabut. Persoalannya berapa orang yang suka membersihkan dan mengemas?
Teringat hadis Rasulullah saw ‘Kebersihan itu senahagian dari Iman’. Kebersihan dan iman saling berkaitan. Orang yang menjaga kebersihan tidak semestinya beriman, tetapi orang yang beriman wajib menjaga kebersihan.
Kebersihan pula amat luas bidang pentakrifannya. Pokoknya adalah rohani dan jasmani. Kebersihan rohani menjadi baja asas dalam menentukan subur dan sugulnya pokok kita
Andai kita merasa najis itu kotor, bagaimana tahap kebersihan hati kita? Untuk membersihkan hati, rendahkan ego kita dengan mencuci najis itu. Jangan biasakan diri kita membuang sampah ditempat yang tidak sepatutnya. Bagaimana Tuan Guru Hj NIK Abdul Aziz bin Nik Mat akan mencuci tandas madrasahnya dengan tapak tangan beliau sendiri
Walau bagaimana pun buatlah pilihan berdasarkan kebenaran bukan keegoan. Akal yang dibaluti iman insya allah akan terpelihara dengan pengawasan Allah. Saya menulis untuk diri sendiri

Kerana Cinta aku begini
