Tuesday, March 13, 2012

sg semungkis



ekspidisi sg semungkis menjadi idaman saya selama ini. Dengan izin Allah ia termakbul pada 2012. Malam tadi saya masih bermimpi meredah hutan seperti di sg semungkis

Wednesday, February 15, 2012

Pantas



Masa dan peristiwa yang menjadi hakikat sebuah kehidupan terus berjalan laju. Sedangkan saya masih terkial-kial. Entah apa yang saya lekakan. Sekarang saya sudah tertinggal jauh tidak kelihatan. Kalaupun saya berlari hendak mengejarnya, pantaskah saya dapat seiring berjalan? Dalam mengah. Kalau pun tidak, sekurang-kurangnya saya tersedar dan berusaha untuk bergerak. Pantas atau tidak bukan ukurannya.

Sunday, February 12, 2012

Belum lagi



Saya dah berusaha. Masih belum ada rezeki. Mundah-mundahan Allah melihat usaha saya. Tabahkan hatiku, kuatkan imanku

Thursday, January 26, 2012

Balik kampung



Di sana saya lahir, di sana saya sekolah, di sana saya membesar dan tua. Di sana ada emak dan abah, di sana juga ada kawan-kawan. Di sana sentiasa melambaikan kerinduan menggamit saya pulang.

Tuesday, January 17, 2012

PD



Aktiviti berkumpul dengan keluarga memang indah. Hajat abang hendak mengumpulkan anak-anak Abdul Mutalib di PD memang baik dan mulia. Tetapi tidak semua dapat menyertainya atas kekangan yang bermacam-macam rupa.


Bagi yang kondisi kewangannya cukup-cukup makan, melancong adalah item yang selalunya tidak termasuk dalam senarai perbelanjaan. Apatah lagi sekarang. Komitmen duit yang diterima cukup terhad hanya meliputi perkara wajib semata. Bagi saya pula, walaupun bujang, hakikat ini adalah sama. Malah lebih parah dari yang lain walaupun sudah berkeluarga. Jawatan rendah. Pulangan pun rendah. Tiada kerja lebih masa. Untuk membuat kerja sambilan saya tidak mempunyai apa-apa kemahiran... haha


Bulan lepas abang ajak ke Melaka. Saya sebenarnya ragu dengan persetujuan saya. Namun, atas dasar ingin merasa ke tempat orang, saya gagahi juga. Itupun kerana penginapan dan kenderaan ditaja abang. Bulan ini ke PD pula. Mula-mula saya memang setuju dan seronok kerana diajak bercuti. Selepas menyenaraikan belanjawan peribadi Januari, saya cuak dan terus menarik diri.


Insya Allah jika memang Allah takdirkan, saya akan ke PD jua. Adik memaklumkan kepada saya malam tadi supaya turut serta kerana ditaja lagi. Antara malu dan segan. HUHU. Rezeki Allah. Allah bukakan pintu hari mereka memberi lorong saya memijakkan kaki ke PD. Alhamdulillah, Subhanallah.

Sunday, January 15, 2012

Jan Lues



Senyumannya memanggil-manggil saya ke sana. Rindu menyerbu serta merta. Saya terus ke sana. Alhamdulillah rindu saya tidak sia-sia. Saya disambut dengan senyum tawa yang meruntun jiwa. Mohd Aqil yang comel sudah mahu menerima dukungan saya. Dia juga sudah mahu mencium pipi saya.


Dua hari dua malam berlalu begitu saja. Mohd Aqil sudah bisa berenggang dengan umi dan mahu mengikut saya bersiar-siar keliling taman. Paling indah apabila dapat menidurkannya di buaian. Saya sangat bangga. Tidak menolak apa saja yang disuakan ke mulutnya. Tapi awas... kecil-kecil berisi. Kuat membuli dan akan protes setiap kehendaknya yang tidak dilayan.


Fitrah kanak-kanak yang bersih dari dosa. Rasa indah bila bersama. Rasa tenang bila menatapnya. Kain putih itu perlu dicorak seindahnya. Agar cantik disisi agama, nusa dan bangsa.


Berat sungguh hati hendak meninggalkannya. Sempat saya membuainya sehingga tertidur. Selepas itu saya tidak lagi menjenguk wajahnya sehingga saya pulang. Lewat perbualan saya dengan kakak, Mohd Aqil mencari saya seawal pagi sebaik jaga dari lenanya.

Tuesday, January 10, 2012

Peluang



Dalam usia saya yang sebegini banyak, berilah peluang untuk saya membuat keputusan berdasarkan apa yang saya rasakan baik. Saya akui saya masih perlukan bimbingan dalam menghadapi situasi dunia yang terlalu hebat rentak ombaknya.


Berprasangka buruk adalah perlu dalam hal-hal tertentu sebagai langkah berhati-hati. Tidak semua orang buruk. Setiap orang ada tabiat masing-masing. Dalam kita berhadapan dengan pelbagai ragam manusia kita secara automatik dapat menilai sikap kita sendiri dan ingin berusaha menjadi ke arah yang lebih baik. Cuba kita fikirkan, adakah sikap kita terlalu perfek sehingga kita perlu menepis semua orang di sekeliling kita. Allah menjadikan manusia lelaki dan wanita dari pelbagai kaum dan bangsa supaya kita dapat mengenal di antara satu sama lain.


Berilah saya peluang. Semoga Allah merahmati saya kerana niat saya ingin membantu. Sekiranya Allah menduga saya, saya bermohon agar dugaan itu adalah yang termampu saya galas dan semakin mendekatkan saya dengan Allah swt.

Monday, January 9, 2012

awwal


Selamat datang 2012 selamat tinggal 2011. Alhamdulillah umur saya dipanjangkan setakat hari ini. Tuhan masukkan saya dalam redhaMU.


Mak dan abah semoga tenang dan bahagia dalam usia ini. Kakak, abang dan adik semoga kita semua sepakat dalam bersaudara.


Saya mengharapkan diri saya menjadi mukmin yang soleh, berakhlak mulia dan teguh jati diri.


Suatu persoalan. Adakah dunia berakhir 2012?. Allah Maha Berkuasa. Sekiranya Dia mahu, Dia bebas melakukannya.



Thursday, December 29, 2011

berat



Saya selalu teringat pesan rasulullah bila melihat kemungkaran hendaklah kau cegah dengan tangan (kuasa). Kalau tidak mampu, dengan lidah. Kalau tidak mampu juga, dengan hati. Dengan hati itulah selemah-lemah iman.


Begitulah hakikat umat pada akhir zaman. Ramai, tetapi ibarat buih di lautan. Maksiat berleluasa di sekeliling kita tetapi tidak berani hendak mencegahnya. Malah apabila ada yang berani mencegahnya mulalah cacian dan cercaan lalu ditumpahkan. Kononnya dakwah tak kena cara dan sebagainya. Ya Rasul, bagaimana saya hendak bertemu denganmu dengan membawa seribu ketakutan ini?


Kasihnya saya pada sahabat yang tidak menjaga aurat dan meremehkan amanah. Dalam hati membuak-buak kata teguran dan amaran Allah. Namun segalanya terhijab. Bagaimana sayangku ini. Saya juga manusia berdosa. Namun saya juga berusaha memperbaiki diri dan ingin sekali beramai-ramai membaikinya bersama-sama.


Saya belajar sifat-sifat mulia dari mereka. Malah hati mereka lebih mulus dalam bersaudara. Tetapi sayangnya mereka meremehkan aurat. Kasihanilah kami ya Allah. Bantulah kami ya Allah. Saya tiada jawapan bila KAU tanyakan soalan mengapa saya tidak menegur dan memberitahu mereka ya Allah. Beratnya tanggungjawab ini

Tuesday, December 27, 2011

Round Abaut



Persimpangan sudah berpusing mengelilingi minda 360 darjah. Semuanya perlu diperhatikan untuk membuat keputusan seterusnya diambil tindakan.


Kalau dalam pekerjaan, semakin tinggi jawatan seseorang semakin berat pula tanggungjawabnya. Sebab itu gaji orang yang berjawatan tinggi mahal. Sesuai dengan tanggung jawabnya. Kita yang menjadi orang bawahan sering cemburu melihat tangga gaji orang atasan.


Persimpangan dalam keluarga pula adalah bab menjaga hati. Ditelan mati mak diluah mati bapak. Di antara pengorbanan dan terkorban. Apabila pengorbanan disalah gunakan menyebabkan ada yang terkorban. Air yang dicincang menjadi thunami yang membinasakan. Semoga Allah merahmati hubungan kita dalam bersaudara.


Dalam fitrah perhubungan pula ujian dan cabaran dengan kehadiran orang ketiga mahupun keseterusnya. Bumi mana tidak ditimpa hujan? Laut mana yang tidak bergelora? Manusia mana yang tidak membuat kesilapan? Segalanya adalah rencah penyeri dalam kehidupan. Manusia sukakan cabaran. Kalau permainan tiada cabaran pasti membosankan.


Bayangkan segalanya berhimpun di minda yang satu. Bagaimana kita hendak menghadapinya?. Di sinilah tahap keimanan orang yang beriman dinilai. Ujian tidak berlaku hanya kepada kesusahan. Kesenangan juga adalah ujian. Kita mengambil iktibar peristiwa yang menimpa kepada Qarun dan Fir'aun. Mereka tersungkur di dalam ujian kesenangan.


Kesyukuran di kala senang dan susah perlu diteruskan. Apa lagi yang boleh dilakukan sebagai hamba selain menzahirkan rasa kesyukuran kepada tuhannya. Tuhan yang memberi segala kenikmatan tanpa menilai kesyukuran dan kekufuran. Dia yang maha memberi. Dia yang maha berkuasa. Peliharalah kami dalam kasih sayangMu tuhan

Wednesday, December 21, 2011

'yes' or 'no'



Sukarnya membuat keputusan. Sukarnya untuk mengungkapkan 'no' walaupun itulah keputusan dari hati. Mudahnya bibir melafazkan 'yes' tapi bukan dari hati yang rela

Tuesday, December 20, 2011

Awan Nano - Hafiz (Final Fantacy) -Lyric



Pertama kali dengar lagu ni masa layan 'vokal bukan sekadar rupa'. Pastinya lagu ini meninggalkan kesan yang berbeza buat Mafa dan saingannya.


Apabila mengimpikan sesuatu yang diidami ramai kita berlu bersedia untuk gagal di samping berusaha untuk mendapatkannya sehabis daya usaha. Andai tidak berjaya juga itu bukan rezeki kita dan ada hikmahnya mengapa kita tidak memilikinya. Inilah motivasi bagi orang Islam. Allah akan melihat usaha kita.


Ini adalah satu perumpamaan. Irama dan lagu tidak dapat dipisahkan. Cara seseorang menghayati lagu adalah berlainan posisinya. Adakah posisi yang saya punyai ini benar? Ahh, Berhibur tiada salahnya kerna hiburan itu indah. Layannn...



Monday, December 19, 2011

Bila sudah dewasa


Saya masih ingat semasa masih di bangku sekolah, ketika masih menerima wang saku dari bapa, bagai tidak sabar hendak menjadi dewasa supaya saya dapat bekerja dan mencari wang sendiri dan membeli apa yang dihajati


Bila tamat SPM saya mula gelisah apabila sukarnya diterima bekerja kerana kurangnya serba serbi yang dimahukan majikan. Saya sambung tingkatan 6 dan seterusnya... Memori terus memalu gendang sejarah kehidupan. Setiap saat yang berlalu dengan peristiwa yang telah ditentukan. Saya malu untuk mengenangnya kembali.


Usia terus merangkak tanpa henti.Dewasa bertamu dan menemani minta diertikan tentang impian hingusan dahulu. Tanggungjawab dan cabaran silih berganti mencorak lukisan sebuah kedewasaan. Saya sudah dewasa pada usia. Namun pada pemikiran dan tingkah laku masih lagi dipersoalkan. Mengapa ianya tidak berjalan seiring? Tepuk dada dan ketuklah minda.


Adakah saya dikatakan tidak bersyukur dengan nikmat yang telah saya kecapi selama hari ini sekiranya saya katakan " Kalaulah saya dapat menjadi kanak-kanak semula alangkah indahnya".
Ketahuilah bahawa Rasulullah amat tidak menyukai kalimah KALAU.


Sememangnya zaman kanak-kanak sangat indah. Zaman dewasa juga ada keistimewaannya yang tersendiri. Kedua-duanya saling melengkapi sebuah kehidupan yang hanya sebagai persinggahan. Semua makhluk akan menuju ke destinasi yang satu. Nun Di situ....

Thursday, December 8, 2011



Kecil bersama, sudah besar membawa haluan mencari kehidupan, ayah ibu pengikat kasih.

Saturday, November 26, 2011

REDAH


Saya nekad untuk redahi taklifan esok. Allah sentiasa bersama saya. Usaha itu tanggungjawab saya. Natijahnya dalam tangan Allah

Esok saya akan redah ke PICC. Menurut pemandu bas yang saya naiki ke Alamanda tadi saya perlu naik bas bernombor 600 untuk ke sana. Tawakkal. Moga Allah permudahkan saya dalam taklifan ini.

Dua minggu lepas saya mendapat memo bahawa nama saya tersenarai dalam kalangan 31 orang yang perlu menghadiri Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan di Dewan Plenari. Pada mulanya saya ingin menarik diri tetapi saya gagal berbuat demikian kerana bebanan tugas. Sehinggs semalam saya menunggu email maklumat program tersebut ternyata tiada. Tunggu dan lihat saja. Jiwa saya bergetar. Bagaimana ekspidisi redahan saya esok?

Bak peristiwa hijrah Rasulullah saw. Baginda mendapat wahyu berupa perintah lalu baginda melaksanakannya debgan penuh payah.

Ya Allah permudahkan langkahku esok

Wednesday, November 23, 2011

rindu redan



Sewaktu saya melangkah kaki menaiki pesawat pulang ke tanah air di Mator Qadim Kaherah saya memasang niat di hati akan kembali semula ke sini. Walaupun tipis namun saya amat berharap.

Sampai di kampung, seperti yang saya jangkakan. Kenyataan abang buat saya pasrah. Saya berusaha sendiri untuk tidak mengalah, tapi bukan rezeki saya.

Rindu. Apakah makna rindu ini? Rindu yang amat jauh di sudut hati melakar terkilan yang tak sudah. "Ada hikmahnya" Saya memujuk hati.

Saya akan ke sana insya Allah. Allah yang menentu segalanya.

Tuesday, November 1, 2011


Kerana Cinta aku begini
Kerana percaya aku begini
Luv ALLAH

Thursday, October 27, 2011

Catatan Sabtu


Apa ada pada Sabtu? Hari cuti dan rehat dari kerja di pejabat. Saya manfaatkan Sabtu saya sehabis baik yang saya rasakan. Kalau di kampung dulu dari Isnin sampai Ahad adalah statik. Tinggal dengan famili mengikat saya dengan kerja-kerja seorang suri. Dari bangun tidur sampa tidur semula segalanya sedia terbentang di minda, Kalau ada yang culas akan mendapat penalti. Itulah rona diari hidup saya yang sangat indah

Berlainan Sabtu sendirian tanpa famili. Saya tidak betah mahu menyambung tidur seusai solat subuh seperti amalan gadis-gadis kota. Saya mewarnai pagi Sabtu saya dengan beralas kurma penyokong tenaga amalan sunnah. Saya meredah keheningan pagi di Putrajaya. Melazimi damai kota yang jauh berbeza. Mengajar minda berimaginasikan sebuah kedamaian versi kota Tertib kenderaan berpusu tenang, Pekerja perbandaran tekun mengindah gubahan taman, Kompleks perniagaan masih ada yang berbungkus dingin. Warganya yang menghidupkan pagi dengan wajah ceria. Alhamdulillah

Kalau di kampung, sungguh damainya tiada bandingan, malang saya tidak sempat menikmatinya. Berkejar waktu mendisplini tugas mengikut piawaian capaian NKRA. Tugas bukanlah paksaan, tetapi tanggungjawab. Membuat sarapan, kemas rumah, cuci pakaian, masak makanan tengah hari dan seterusnya untuk famili.

Allah memberi saya merasa nikmatnya hidup. Adunan rencahnya amat memukau rasa. Bermula dengan zaman kanak-kanak dikelilingi adik beradik yang ramai, di sekolah punya sahabat yang mendidik jiwa, di universiti berkenalan dengan tarbiyah, kembali ke pangkuan famili bekerja sambil mengisi rutin seorang suri dan kini saya di lepaskan bak seekor burung yang bebas memilih haluan dan membuat keputusan

Ya Allah, Saya memohon agar KAU tunjuki saya ke jalan yang kau Redhai. Saya masih terpinga-pinga untuk menempuh jalan yang bakal saya redahi. Saya masih jahil dengan petunjuk-petunjuk arah yang KAU beri. Saya masih alpa dengan bahaya-bahaya yang cuba menghampiri. Sedangkan destinasi dan matlamatnya adalah PASTI. Kebahagiaan di negeri abadi

Hari Sabtu saya isi dengan aktiviti kecergasan. Berjalan kaki. Otak yang cerdas berada di dalam tubuh badan yang cergas. Lima hari tubuh dibungkus dingin penyaman udara bagai mengecutkan seluruh kapilari darah merembeskan kelesuan di segenap ruang anggota tubuh. Saya menyahut seruan dan kempen-kempen kerajaan agar mengamalkan gaya hidup sihat. Semoga usaha saya untuk menyahkan penyakit kronik dari tubuh badan saya berhasil.

Di tasik pembentungan warga Presint 9 dan kawasan sekitarnya yang berkelapangan berlegar dengan cara masing-masing. Ada yang berjoging, berjalan kaki mengelilingi tasik, di samping tidak kurang juga ada yang menggunakan alatan senaman yang disediakan tidak mengira usia tua mahupun muda, berteman mahupun bersendirian. Semuanya memerah keringat mengisi kehangatan bagi mencairkan lemak-lemak yang menghalang segala operasi tubuh lancar, agar ibadah pula akan terus maju refleksi kesyukuran mencelah raih rahmat ALLAH yang begitu berharga.

Sabtu saya isikan dengan curahan senyuman dan salam buat teman seangkatan yang mengharapkan kecergasan dari Allah agar bertaut juga kasih sayang sesama umat. Berpijak di bumi dengan menzahir ketaqwaan kepada Allah. Jauh perjalanan luas pemandangan dan timbalah pengalaman. Guru yang paling hemah dalam pengajaran.

memori 6 anggerik SKKK 1996

Thursday, October 13, 2011

Yang mana satu?


Kita boleh memilih sekiranya ada banyak penawaran. Pastikan pilihan kita adalah tepat benar dan tidak menyalahi undang-undang dunia mahupun akhirat.

Ramai orang mencintai kebersihan. Rasanya hamper tiada yang suka kotor dan serabut. Persoalannya berapa orang yang suka membersihkan dan mengemas?

Teringat hadis Rasulullah saw ‘Kebersihan itu senahagian dari Iman’. Kebersihan dan iman saling berkaitan. Orang yang menjaga kebersihan tidak semestinya beriman, tetapi orang yang beriman wajib menjaga kebersihan.

Kebersihan pula amat luas bidang pentakrifannya. Pokoknya adalah rohani dan jasmani. Kebersihan rohani menjadi baja asas dalam menentukan subur dan sugulnya pokok kita

Andai kita merasa najis itu kotor, bagaimana tahap kebersihan hati kita? Untuk membersihkan hati, rendahkan ego kita dengan mencuci najis itu. Jangan biasakan diri kita membuang sampah ditempat yang tidak sepatutnya. Bagaimana Tuan Guru Hj NIK Abdul Aziz bin Nik Mat akan mencuci tandas madrasahnya dengan tapak tangan beliau sendiri

Walau bagaimana pun buatlah pilihan berdasarkan kebenaran bukan keegoan. Akal yang dibaluti iman insya allah akan terpelihara dengan pengawasan Allah. Saya menulis untuk diri sendiri